Seorang pembeli rumah di pangsapuri Alam Prima menunjukkan kawasan letak kereta di pangsapuri itu yang ditakungi air akibat terbiar sejak lebih setahun lalu. –Utusan/Hafiz
SHAH ALAM 21 Nov. - Isu projek rumah gagal disiapkan oleh pemaju dalam tempoh yang ditetapkan bukan lagi satu perkara baru tetapi di sebalik pelbagai usaha ‘pencegahan’ yang diambil oleh kerajaan, ia masih berlaku. Apabila berlaku masalah itu, golongan yang terpaksa menanggung kesengsaraan tentunya pembeli dan keadaan menjadi lebih memeritkan apabila pemaju berjanji menyelesaikan masalah secepat mungkin tetapi tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh.
Paling menyedihkan, kebanyakan pembeli yang terjebak dengan kemelut itu adalah mereka yang pertama kali membeli rumah. Akibatnya, bukan sahaja impian mereka untuk mendiami rumah idaman berkecai atau tertangguh tetapi juga mereka terpaksa hidup dalam keadaan tertekan kerana dibebani dengan masalah kewangan.
Inilah kemelut yang turut melanda pembeli rumah di Pangsapuri Alam Prima, Seksyen 22, di sini sejak lebih setahun lalu. Rumah yang dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada tahun 2007 dan dijanjikan siap pada tahun lalu itu masih gagal diduduki oleh pembeli sehingga hari ini.
Pembeli pangsapuri Alam Prima yang terbengkalai berkumpul bagi mendesak pemaju menyiapkan segera projek itu.
Selepas gagal memenuhi tarikh siap yang sepatutnya, pembeli berkata, SPNB berjanji pula akan menyerahkan kunci rumah pada Jun lepas, namun ia tetap gagal dikotakan. Rata-rata pembeli mengakui sangat tertekan dengan keadaan itu kerana mereka harus membayar balik pinjaman bank antara RM700 sehingga RM1,300, di samping perlu membayar sewa rumah yang diduduki sekarang. Harapan mereka untuk hidup lebih selesa di kediaman sendiri masih tidak kesampaian dan mereka kini harus lagi menanti dan terus menanti. Beberapa pertemuan sudah diadakan dengan pihak pemaju tetapi masalah itu masih tidak dapat diselesaikan juga.