Thursday, 17 May 2012

www.utusan.com.my

ARKIB : 21/12/2011
Alam Prima tunggu CFAlam Prima tunggu CF

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Pembeli rumah di pangsapuri Alam Prima, Seksyen 22 Shah Alam boleh menduduki rumah mereka mulai Januari ini selepas semua isu berbangkit sebelum ini berjaya diselesaikan.

Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Kamarul Rashdan Salleh (gambar) berkata, pangsapuri itu sudah siap sepenuhnya dan kini dalam proses mendapatkan Sijil Layak Menduduki (CF).

Menurutnya, pembinaan pangsapuri tersebut sepatutnya dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan, namun kewujudan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan telah menyebabkan berlaku kelewatan.

Antara masalah tersebut termasuk isu jalan ke pangsapuri, tetapi jalan berkenaan telah pun disiapkan sepenuhnya.

“Kita kini cuma menunggu surat sokongan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan juga Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).

“Apabila surat sokongan ini diperoleh, kita akan menghantar borang E pada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam untuk mendapatkan CF,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai desakan pembeli unit di pangsapuri itu supaya SPNB menyiapkan segera rumah mereka.

Kamarul Rashdan berkata, permohonan CF itu akan dilakukan pada akhir bulan ini dan apabila borang sudah diserahkan, para pembeli bolehlah mendapatkan kunci rumah masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, pembeli masih belum boleh menduduki rumah terbabit sehingga CF dikeluarkan, yang dijangka dalam tempoh dua minggu selepas permohonan dikemukakan.
Beliau memberitahu, ekoran daripada kelewatan penyerahan rumah itu, SPNB akan membayar ganti rugi kepada pembeli yang layak.

“Kita akan membayar separuh daripada jumlah ganti rugi itu terlebih dahulu dan bakinya akan dibayar pada majlis penyerahan kunci rumah nanti,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Rashdan menegaskan, SPNB akan terus menunjukkan komitmen dalam membina rumah mampu milik berkualiti di negara ini.

Katanya, pada tahun ini, SPNB berjaya menyiapkan tujuh projek rumah mampu milik berkualiti di seluruh negara, sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment